AstraZeneca hanya ditawarkan secara sukarela di PPV khas

AstraZeneca hanya ditawarkan secara sukarela di PPV khas

KHAIRY Jamaluddin bersama Dr. Adham Baba dalam sidang akhbar mingguan CITF di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan vaksin jenis AstraZeneca akan ditawarkan kepada orang ramai secara sukarela dan diagihkan menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kegusaran orang ramai terhadap vaksin berkenaan.

Beliau berkata, buat permulaan, agihan 268,600 dos AstraZeneca itu bagaimanapun tidak termasuk dalam PICK yang dilaksanakan kerajaan buat masa ini.

“Vaksin itu akan diagihkan berdasarkan konsep ‘first come, first serve‘.

“Kita juga akan membuka satu sistem tempahan khas kepada orang ramai untuk membuat tempahan janji temu bagi mendapatkan vaksin itu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perkembangan PICK di sini, hari ini.

Katanya, agihan vaksin AstraZeneca itu tidak dihadkan kepada golongan dalam fasa dua PICK, tetapi ia dibuka kepada sesiapa sahaja.

Khairy berkata, buat permulaan, PPV khas bagi agihan vaksin itu akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur selepas mengambil kira peningkatan kes di dua kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang berdaftar bagi mendapatkan vaksin itu perlu menjalani proses saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum layak menerima suntikan.

“Saya juga sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam bagi menyediakan PPV khas untuk agihan vaksin berkenaan.

“Saya juga sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya selang agihan dos kedua vaksin AstraZeneca diberikan selepas 12 minggu,” katanya.

Katanya, selang masa yang lama itu membolehkan lebih ramai akan mendapatkan vaksin.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, beliau turut menawarkan agihan dos vaksin berkenaan kepada kerajaan negeri Sarawak sebagai persediaan negeri itu yang mahu melaksanakan pilihan raya negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN