Anggota bomba kini tersenarai penerima TAPPN - Ketua Pengarah JBPM

Anggota bomba kini tersenarai penerima TAPPN

MOHAMAD Hamdan Wahid (tengah) ketika melancarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam Edisi ll pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Negeri Sembilan Tahun 2020 di Seremban, hari ini. - FOTO/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini diluluskan sebagai antara jabatan yang tersenarai untuk menerima Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, perkara itu telah diluluskan oleh pihak Ahli Lembaga yang menguruskan tabung berkenaan dan apabila ia berkuat kuasa kelak, ia mampu memberi manfaat kepada kira-kira 14,000 anggota beruniform JBPM yang melaksanakan tugas-tugas operasi.

“Kami baru diluluskan oleh lembaga tersebut dan ia dalam proses untuk penyenaraian, insya-Allah, JBPM menjadi warga yang boleh menerima daripada tabung tersebut sekiranya ada berlaku apa-apa kematian, kecederaan dan juga yang sepatutnya di bawah tabung tersebut. 

“Warga bomba sebelum ini tidak ada, ia hanya untuk polis dan juga tentera. Jadi sekarang ini dianggap bahawa perkhidmatan bomba masuk dalam golongan yang dikira bertanggungjawab di atas keselamatan masyarakat dan mereka juga diberi penghormatan di bawah tabung tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah JBPM negeri, Hamdan Ali.

Pada majlis tersebut, Mohammad Hamdan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 56 orang penerima serta Sijil Perkhidmatan 30 Tahun kepada 19 orang penerima.

Sementara itu, jelas beliau, kelulusan tersebut merupakan hasil daripada perbincangan dan permohonan yang pernah dibuat oleh JBPM selepas berlakunya beberapa kejadian yang mengakibatkan kematian dan kehilangan keupayaan anggota bomba dalam melaksanakan tugas dan operasi.

“Contohnya pada tahun 2018, kita ada mengalami kes kelemasan dan juga kes yang melibatkan kematian Adib (Muhammad Adib Mohd. Kassim), jadi kita sudah bawa isu ini.

“Ia juga menjadi satu elemen motivasi kepada kakitangan dan warga JBPM yang memberikan perkhidmatan dengan sepenuh hati, dedikasi tanpa mengira masa dan tempat dan keadaan,” katanya lagi.

Tambah Mohammad Hamdan lagi, perincian mengenai perkara itu termasuk aspek perlindungan dan pampasan kami akan dibincangkan dengan ahli lembaga mesyuarat TAPPN tersebut termasuk melibatkan tempoh berkuatkuasanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN