Amalan Ayob Khan elak sihir - Utusan Malaysia

Amalan Ayob Khan elak sihir

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) beramah mesra dengan sebahagian peserta Majlis INTAN Executive Lecture Series: Integriti, Penghayatan, Praktik dan Cabaran di INTAN Kampus Wilayah Selatan di Kluang, Johor. – UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Gara-gara kelanta­ngan dan ketegasan memerangi jenayah sejak dahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak menafikan kemungkinan ada pihak yang tidak suka dan boleh melakukan apa sahaja terhadapnya termasuk sihir.

Namun, beliau berkata, soal rezeki, hidup dan mati bukan ditentukan manusia melainkan Allah SWT kerana baginya jika ketakutan terhadap makhluk menguasai diri, seseorang itu tidak dapat melakukan pekerjaannya.

“Bagi saya, kita jangan ang­kuh dan cakap besar (kerana) paling penting tuan-tuan (anda) buat kerja dengan ikhlas. Kalau kita buat kerja ikhlas kerana ­Allah, (urusan) yang lain jangan bimbang.

“Orang akan buat, orang akan atur dan orang akan sekat tuan-tuan, tetapi kalau Allah sudah tentukan wahai Ayob kamu akan mati pukul 12.05 minit (aki­bat) sakit jantung ketika memberi syarahan di INTAN Kluang, saya akan matilah.

“Allah yang tentukan (juga), wahai Ayob kamu akan pencen sampai KP Johor. Kamu tak boleh pergi lagi atas (naik pangkat), (maka) pencen KP Johorlah. Jadi rezeki hidup mati kita bukan manusia yang tentukan tapi Allah yang tentukan. Kalau takut, tuan-tuan tak akan dapat buat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis INTAN Executive Lecture Series: Integriti, Penghayatan, Praktik dan Cabaran di INTAN Kampus Wilayah Selatan, di sini semalam.

Ayob Khan berkata, tidak dinafikan amalan sihir tidak dapat lari daripada realiti kehidupan masyarakat hari ini, namun beliau turut berkongsi amalan tertentu sebagai pendinding diri daripada terkena sihir.

“Memanglah orang Melayu khususnya, dia tak boleh tengok orang lebih daripada dia. Dia akan guna (pelbagai cara), tak boleh berdepan-depan dia guna cara halus, tak boleh nak ini dia akan guna bomoh. Macam-macam ada orang yang terkena banyaklah kan.

“Insya-Allah, ayat kesembilan surah Yassin itu pendinding, kalau nak keluar rumah baca selain daripada ayat Kursi. Tetapi (kita) kena yakin, memang benda-benda mistik itu ada, bukan tak percaya tapi kamu jangan yakin mereka yang menentukannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya