ARAU: Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) negeri merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM12,299 termasuk cukai dalam serbuan di bangunan kedai Jalan Arau – Kodiang, Guar Sanji semalam.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Azizan Saman berkata, serbuan pukul 5.50 petang di kedai vape dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti seludup mercun.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang mengaku sebagai pemilik kedai berada di premis terbabit ketika serbuan.
“Pemeriksaan di premis menemukan sejumlah kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api disembunyikan di bahagian bilik tidur,” kata beliau di sini hari ini.
Menurut beliau, Aksem menahan lelaki tersebut dan merampas semua mercun serta bunga api yang kemudian dibawa ke Kompleks Aksem Chuping.
Sementara itu, beliau memberitahu, nilai barang tersebut adalah sebanyak RM7,687 manakala RM4,612.20 adalah nilai cukai.- UTUSAN