HULU TERENGGANU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini memberi kegembiraan berganda kepada seorang bekas ahli kumpulan Al-Maunah dari Kampung Batu 24 di sini, selepas 20 tahun menyambutnya di tirai besi.
Lelaki dikenali sebagai Awie, 50, itu bersyukur kerana selepas tempoh itu buat pertama kalinya dia dapat meraikan kemeriahan Syawal bersama ahli keluarga dan sanak saudara di rumah.
Malah katanya, hari raya lebih bermakna apabila berpeluang menyambutnya bersama tunang tersayang sebelum mereka menamatkan zaman bujang pada akhir Aidilfitri nanti.
Awie yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah ladang durian berkata, persiapan raya sudah dibuat awal termasuk membeli sepasang baju Melayu berwarna merah jambu di samping menempah makanan kegemarannya iaitu lemang dan tapai.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat berpuasa dan berhari raya di rumah. Kalau di penjara suasana itu sama sahaja seperti hari-hari biasa.
“Di rumah tentunya lebih meriah dengan adanya ahli keluarga dan sanak saudara di selain dapat menziarahi insan tersayang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Menurut Awie, kemuliaan bulan Ramadan dimanfaatkan dengan solat berjemaah di Surau Al-Falah, Kampung Bukit Tok Bat, bahkan turut diberi kepercayaan sebagai bilal.
Katanya, semasa menjalani hukuman penjara, solat sunat tarawih dilakukan berseorangan di dalam bilik pengasingan dan Ramadan kali ini memberikan satu pengalaman baharu kerana dapat menunaikan ibadah itu bersama keluarga serta penduduk kampung.
“Saya juga berpeluang makan semua makanan yang diidamkan termasuk martabak dan bubuk lambuk,” katanya.
Awie adalah antara 13 bekas ahli Al-Maunah yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat, namun diberikan pembebasan awal susulan pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos tahun lalu. – UTUSAN ONLINE