Ahmad Fuzi Yang Dipertua Pulau Pinang ke-8  - Utusan Malaysia

Ahmad Fuzi Yang Dipertua Pulau Pinang ke-8 

Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Teka-teki pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan terjawab apabila kerajaan negeri hari ini mengumumkan jawatan itu akan disandang bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak menggantikkan Tun Abdul Rahman Abbas. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau menerima warkah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 April lalu yang berkenan melantik Ahmad Fuzi, 72, sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan. 

“Majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi akan diadakan 30 April ini di Istana Negara. 

“Istiadat angkat sumpah jawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pula akan berlangsung di Dewan Sri Pinang 1 Mei ini,” kata  beliau pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Ahmad Fuzi yang dilahirkan di Sungai Bakap, dekat sini pada 8 Januari 1949 mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara. 

Beliau menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran sejak 1972 dan bertugas di pelbagai jabatan di Kementerian Luar sehingga 2009. 

Sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu, Ahmad Fuzi  pernah mengetuai delegasi pegawai kanan negara dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa serta menganjurkan Sidang Kemuncak NAM dan Sidang Kemuncak OIC pada 2003 dan lain-lain persidangan. 

Beliau juga Fellow Kehormat Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR); Anggota Lembaga Pemegang Amanah MERCY Malaysia, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia (YSPM) dan lain-lain. 

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan akan menguruskan  upacara serta istiadat pelantikan berkaitan dengan sebaiknya mengikut prosedur operasi standard (SOP). 

“Kerajaan negeri juga akan memastikan proses peralihan ini berjalan dengan lancar,” katanya. 

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Tun Abdul Rahman atas jasa serta bakti beliau sebagai Yang Dipertua Negeri ketujuh selama 20 tahun.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya