Agihan pendapatan AHB 2.35 sen seunit - Utusan Malaysia

Agihan pendapatan AHB 2.35 sen seunit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pengagihan pendapatan interim dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2021 yang bakal diagihkan bagi 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Hasil syarikat pelaburan hartanah dan anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) itu adalah daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.15 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.20 sen seunit.

Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda berkata, keadaan pasaran semasa masih mencabar walaupun wabak Covid-19 telah berlangsung selama lebih setahun.

Ujarnya, tahun lalu, PHB melaksanakan Rent Relief Program (RRP) bagi meringankan beban para penyewa yang terjejas di bangunan-bangunan milik PHB dan akan meneruskan program sama tahun ini menerusi peruntukan tambahan yang disediakan.

“Walau bagaimanapun, oleh kerana sumber yang terhad, program bantuan ini hanya diberikan kepada para penyewa yang paling teruk terjejas. Walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, PHB setakat ini dapat mengantikan sebahagian besar penyewa yang hilang dengan penyewa yang baharu.

“PHB kini sedang giat berusaha untuk memperoleh aset baharu terpilih, terutamanya di sektor perindustrian dan penjagaan kesihatan. Pembangunan hartanah PHB juga berjalan lancar dengan sebuah hospital swasta baharu bernilai RM340 juta di ibu negara telah siap dibina pada September 2020,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut beliau, PHB juga telah memeterai perjanjian bagi membangunkan sebuah gudang industri seluas 18.58 hektar di Shah Alam dengan kos kira- kira RM0.5 bilion yang akan dipajak sepenuhnya kepada sebuah syarikat logistik antarabangsa.

Tambahnya, PHB juga sedang aktif mengadakan run­dingan mengenai pembangunan hospital swasta baharu di sekitar Selangor dan Pantai Timur.

“Aset-aset hartanah baharu ini bakal menyokong penyuntikan unit baharu ke dalam dana AHB dalam masa yang terdekat.” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmad Najib Nazlan memaklumkan, penawaran semula 160 juta unit AHB itu meraih sambutan memberangsangkan dan menyarankan bumiputera yang berminat untuk mengunjungi cawangan pengedar di Maybank, Ambank atau Ambank Islamic sebelum unit-unit ini dilanggan sepenuhnya.

Pengagihan pendapatan interim AHB yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 15 April ini mendapat pengecualian cukai dan telah dizakatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya