PETALING JAYA: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini sedang menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam atas nasihat doktor bagi tempoh beberapa hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman dalam kenyataan hari ini.
“Marilah kita berdoa agar Datuk Seri Tuan Guru dikurniakan kesembuhan dan kesihatan untuk terus berkhidmat kepada ummah. Terima kasih,” katanya.
Dalam pada itu, anak sulung Abdul Hadi, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk memohon doa semua pihak agar bapanya diberikan kesihatan daripada penyakit dihadapinya.
“Mohon doa dari semua muslimin dan muslimat agar diberikan kesihatan kepada ayahanda untuk terus berkhidmat kepada ummah.
“Jika tidak keberatan mohon selitkan doa kesembuhan di waktu berbuka, ketika solat hajat atau semasa qiyamullail. Mudah-mudahan berkat doa kalian di bulan ramadhan yang mulia ini dimakbulkan oleh Allah,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Sementara itu, beberapa pemimpin antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan agar Ahli Parlimen Marang itu terus diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik seperti sedia kala. – UTUSAN