72.6 peratus rakyat Perlis telah dibanci - Utusan Malaysia

72.6 peratus rakyat Perlis telah dibanci

A. PATHMAVATHI (kiri) bersama Gan Ay Ling memerhatikan proses Banci 2020 di sebuah rumah di Taman Putra Utama, Kangar, Perlis, hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 184,000 atau 72.6 peratus penduduk di negeri ini telah mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dengan sasaran bancian keseluruhan sebanyak 250,000 penduduk.

Pengarah Jabatan Perangkaan negeri, A. Pathmavathi berkata, proses bancian secara bersemuka itu bermula pada Mac lalu dan dijangka selesai pada 31 Mei ini bagi peringkat negeri ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan menjayakan bancian yang diadakan setiap 10 tahun sekali itu dengan memberi maklumat tepat supaya kerajaan dapat memperoleh butiran penduduk dan perumahan merangkumi ciri-ciri demografi serta ekonomi.

“Kalau dari segi demografi kita dapat tahu daripada segi umur, jantina, taraf perkahwinan, warganegara. Manakala ekonomi pula meliputi pekerjaan dan sebagainya. Data ini penting kerana ia boleh membantu mengetahui tentang taraf hidup, umur kanak-kanak dan remaja supaya pembangunan yang sepatutnya dapat dilaksanakan di sesuatu tempat.

“Sebenarnya tempoh bancian secara bersemuka ini sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali yang sepatutnya pada 7 Julai hingga 21 Julai 2020. Tetapi kerana pandemik Covid-19 terdapat keperluan untuk penyesuaian tarikh semula.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana proses pembancian ini diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Petugas juga mempunyai kad pembanci dan serta surat pengesahan supaya orang ramai tidak ragu-ragu,” katanya selepas mengikuti proses bancian di sebuah rumah di Taman Putra Utama, di sini hari ini.

Sementara itu, Pathmavathi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Teknikal Banci Perlis memberitahu, bagi penduduk yang tidak mahu diganggu atau membuat bancian secara bersemuka, mereka boleh membuat bancian secara atas talian melalui e-Census.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, Banci 2020 merupakan peluang kepada rakyat untuk menyuarakan keperluan mereka melalui soal selidik yang telah disediakan oleh Jabatan Perangkaan.

“Banci 2020 merupakan projek kita bersama untuk memastikan kemudahan dan prasarana yang diperlukan oleh rakyat dapat disediakan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya