6 utas jam tangan mewah bernilai hampir RM143,000 dibeli secara tunai

6 utas jam tangan mewah bernilai hampir RM143,000 dibeli secara tunai

HASANAH Abdul Hamid hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan atas tuduhan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, sebanyak enam utas jam tangan Omega pelbagai model yang kesemuanya bernilai hampir RM143,000 dibeli secara tunai dari sebuah kedai menjual jam tangan mewah di Pavillion, tiga tahun lalu.

Chua Sook Shin, 29, berkata, keenam-enam utas jam tangan itu yang setiap satunya berharga antara RM20,000 dan RM40,000 dibeli oleh seorang lelaki yang hadir ke kedai tersebut bersama tiga lagi rakannya.

Pasukan pendakwaan sewaktu mengemukakan ucapan pembukaan pada 6 Oktober tahun lalu menyatakan, pihaknya akan membuktikan Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid telah pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) dengan sebahagiannya digunakan bagi membeli enam utas jam tangan mewah sehingga menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Malaysia.

Perunding jualan di premis berkenaan memberitahu, dia didatangi oleh empat orang lelaki ketika sedang bertugas bersama rakan sekerja, Jowy Kong Kim Kee kira-kira pukul 12 tengah hari, 3 Mei 2018.

Ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Ashraff Mohd. Diah, Sook Shin berkata, salah seorang lelaki berkenaan memberitahu mahu membeli jam tangan berjenama Omega untuk dirinya, ‘boss’ dan seorang rakan.

Menurut saksi pendakwaan kelima, model-model jam tangan yang dibeli ialah Omega Seamaster Aqua Terra, Omega Speedmaster Moonwatch, Omega Seamaster Diver 300 dan Omega Constellation Ladies.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad pada sesi pemeriksaan utama, Sook Shin berkata, dia dan Jowy telah membuat pemeriksaan dan mencatatkan semua nombor siri jam tangan yang dibeli.

Ujar Sook Shin, dia kemudian menguruskan pembayaran tunai keenam-enam jam tangan tersebut, merekodkan butiran, mengeluarkan invois bagi setiap utas jam serta mengeluarkan borang ‘Customer Relationship Management’ kepada pembeli untuk menyimpan data pelanggan.

Dalam pemeriksaan balas, saksi itu bersetuju bahawa jika pelanggan enggan memberikan butiran peribadi, pihaknya tidak mempunyai rekod mengenainya.

Menurut saksi lagi, pihak premis juga tidak pernah meminta nombor kad pengenalan pembeli atau mengesahkan identitinya ketika membuat pembelian jam.

Ujar Sook Shin, dia tidak membuat sebarang susulan dengan pembeli berkenaan kerana urusan tersebut dilakukan oleh Jowy (rakan sekerja).

Bagaimanapun, pada November 2018, dia memberitahu didatangi oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan butiran pembelian keenam-enam jam itu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Hasanah yang didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik Kerajaan Malaysia.

Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang pegawai di Etihad Airways yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, wanita bernama ‘Hasanah’ membuat penerbangan ke Abu Dhabi bersama dua individu pada 8 April 2018 dan ketiga-tiganya pulang pada 10 April 2018.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Farid Ahmad Kamal, Emi Azura Samsudin, 41, berkata, nama ketiga-tiganya direkodkan dalam senarai muktamad penumpang syarikat penerbangan itu yang dikeluarkan dari hub Etihad Airways di Abu Dhabi.

Menjawab soalan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh pada peringkat mana senarai penumpang dihasilkan, saksi pendakwaan keenam itu menjelaskan ia dikeluarkan dari Abu Dhabi apabila penumpang bersedia untuk berlepas.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya