42 murid, 11 guru positif Covid-19 di Negeri Sembilan sejak 22 April - Utusan Malaysia

42 murid, 11 guru positif Covid-19 di Negeri Sembilan sejak 22 April

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, hari ini.- UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 42 murid dan pelajar serta 11 guru di negeri ini dikesan positif Covid-19 sejak 22 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah itu melibatkan 26 buah sekolah di seluruh negeri ini yang diarahkan tutup berikutan pengesanan kes tersebut.

Jelasnya, seramai 61 guru dan 38 murid pula masih dalam senarai Individu Dalam Siasatan (PUI).

“Dalam tempoh seminggu ini, sebanyak 26 buah sekolah ditutup. Ini satu perkembangan yang kurang menarik dan ia perlu dilihat sebagai satu perkara serius kerana melibatkan jumlah besar.

“Ini juga amaran kepada masyarakat di negeri ini supaya pastikan mereka lebih sensitif bukan sahaja kepada diri tetapi anak mereka yang ke sekolah. Pastikan mereka sihat, kalau ada anak mereka yang demam, pening kepala, terus cuti sahaja, begitu juga kepada guru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Negeri Sembilan hari ini mencatatkan penambahan 13 buah sekolah lagi yang diarahkan tutup dua hari berikutan terdapatnya pengesanan kes positif Covid-19 di sekolah tersebut.

Sebanyak 11 daripada sekolah berkenaan terletak di daerah ini manakala dua buah sekolah lagi terletak di daerah Port Dickson dan Tampin.

Selain itu, empat buah sekolah yang diarah tutup sebelum ini juga dilanjutkan penutupannya sehingga 30 April ini.

Sementara itu, menurut Aminuddin, seramai 4,185 orang menerima suntikan vaksin menerusi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

Jelas beliau, jumlah tersebut melibatkan dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Pejabat Daerah dan Tanah, Jempol dan Dewan Majlis Bandaraya Seremban dekat sini.

“Setakat 27 April, seramai 1,472 orang menerima vaksin di Seremban manakala 1,241 menerimanya di Jempol.

“Bagaimanapun, seramai 340 orang individu tidak hadir pada janji temu penerimaan suntikan vaksin di Seremban manakala 109 orang pula tidak hadir di Jempol,” katanya.

Tambah beliau, pada 3 Mei ini, enam buah lagi PPV Bukan Kesihatan dibuka di negeri ini untuk fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

PPV tersebut ialah Dewan Kompleks Belia dan Sukan Telok Kemang, Port Dickson; Dewan D’Sury, Kuala Klawang, Jelebu; Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah; Dewan Seri Rembau, Rembau; Dewan Perdana Tampin, Tampin dan Dewan Orang Ramai Sikamat, dekat sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya