JOHOR BAHRU: Empat Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan secara bersama melepaskan dua kontena berisi rokok, tahun lalu.
Kesemua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Wan Mohd. Nor Hisham Wan Yaakob dan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail selepas pertuduhan dibacakan di dua kamar berasingan.
Tertuduh adalah Muhammad Faizulhidi Abd. Manan, 33; Nazril Md. Yusoof, 41; Mohd. Zaufan Mohd. Yusof, 42, dan Muhammmad Najib Mohd. Roby, 34.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan bagi mencapai niat bersama iaitu telah menyebabkan untuk membebaskan barangan dagangan yang berupa rokok dalam dua buah kontena yang telah disita dengan sempurnanya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mereka di Pelabuhan Pasir Gudang, Mukim Plentong, Johor Bahru antara pukul 2.41 pagi hingga 6.30 petang pada 18 November 2020.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 136(B) Akta Kastam 1967.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Jun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Khairul Nizam Abu Bakar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd. Hamizi Mohd. Yusof dan Ahmad Khairudin Khalid. – UTUSAN