4 bazar Ramadan di Johor ditutup - Utusan Malaysia

4 bazar Ramadan di Johor ditutup

AYUB JAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat Bazar Ramadan di negeri ini diarah menghentikan operasi serta merta sebagai langkah berjaga-jaga setelah tapak perniagaan itu dikunjungi individu yang disyaki positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil bagaimanapun tidak memberitahu tempoh penutupan bazar berkenaan.

Jelasnya, ini kerana tempoh penutupan bergantung kepada penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Penutupan bazar Ramadan ini membabitkan dua di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan masing-masing satu di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

“Dua bazar Ramadan di kawasan MBJB yang diarah tutup adalah Bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan Bazar Ramadan @Mart Kempas.

“Dua lagi bazar terlibat adalah Bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di kawasan MBPG dan Bazar Ramadan Lok Heng dalam kawasan MDKT,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Ayub turut memberitahu, langkah penutupan operasi bazar berkenaan bukan disebabkan ia menjadi punca penularan baharu kes positif Covid-19, sebaliknya ia dikunjungi individu dipercayai positif.

“Rekod di dalam aplikasi MySejahtera menunjukkan kawasan bazar terlibat dikunjungi individu disyaki positif, jadi langkah awal diambil dengan menghentikan operasinya.

“Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak iaitu penganjur, peniaga dan pengunjung agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” ujarnya.

Sebelum ini, Ayub memaklumkan sebanyak 9,609 petak jualan disediakan di 193 lokasi tapak penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kesemua 16 PBT seluruh Johor tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya