13 ditahan bantu siasatan iklan raya promosi judi - Utusan Malaysia

13 ditahan bantu siasatan iklan raya promosi judi

SAIFUDDIN Abdullah (dua dari kanan) bersama Dev (kanan) pada sidang akhbar khas mengenai iklan Hari Raya berunsurkan judi atas talian, di Kementerian Komunikasi Multimedia, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis menahan13 individu setakat ini bagi membantu siasatan mengenai dua klip video iklan Hari Raya berunsurkan judi dalam talian seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Risikan/ Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar pada  sidang akhbar di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.

Menurut beliau, daripada tangkapan itu, sembilan individu ditahan bagi kes iklan pertama manakala empat lagi bagi iklan kedua.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955 dan Akta SKMM.

“Mereka yang ditahan itu adalah pelakon dan penerbit video iklan berkenaan. Perintah tahanan reman bagi kesemua akan berakhir esok.

“Buat masa ini, kami masih  mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video iklan itu. Kami juga tidak dapat sahkan sama ada syarikat judi dalam talian itu berpusat di Malaysia atau luar negara,” katanya.

Sidang akhbar itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Sementara itu, Saifuddin berkata, beliau menasihatkan sesiapa sahaja supaya tidak cuba mengganggu ketenangan umat Islam yang kini menjalani ibadah puasa.

Menurutnya, beliau memahami tidak semua kandungan dalam dunia digital dapat dikawal namun, ada batasnya.

“Kita sudah ada undang-undang sedia ada dan jika langgar sesuatu ketetapan, anda perlu bersedia hadapi hukuman,” katanya yang turut menasihatkan pelakon-pelakon supaya lebih berhati-hati menerima tawaran berlakon selepas ini.

Baru-baru ini, umat Islam  dikejutkan dengan penyiaran dua iklan Hari Raya yang mempromosikan judi dalam talian dan masing-masing tersebar di media sosial sejak kelmarin berlatarbelakangkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya