PETALING JAYA: Seorang personaliti YouTube ditahan antara 12 individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang di sini, Jumaat lalu.
Penahanan itu susulan tindakan mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, mereka yang ditahan akan dikenakan kompaun RM1,000 kerana didapati melanggar SOP iaitu tiada penjarakan fizikal.
Katanya, semua suspek kini direman selama sehari untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Kesemua ditahan melalui dua serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi dan 1.50 pagi pagi tadi.
“Tangkapan pertama melibatkan tujuh lelaki berusia 18 hingga 28 tahun manakala tangkapan kedua pula membabitkan lima lelaki berusia lingkungan awal 20-an,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, tular video mengenai seorang youtuber bersama beberapa rakannya didakwa memukul seorang lelaki ketika perlawanan futsal sejak semalam.
Dalam video berdurasi 31 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki dilihat bergaduh di gelanggang futsal berkenaan. – UTUSAN ONLINE