KUALA LUMPUR: Mengakui kesalahannya, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini meminta maaf kepada Yeo Bee Yin berhubung kenyataannya yang mengaitkan bekas Menteri bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu dengan dakwaan salah guna dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan disaksikan media dan kakitangan mahkamah termasuk peguam, Datuk Sankara Nair yang mewakili Bee Yin serta peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal. Bee Yin bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini.
Permohonan maaf itu antaranya menyebut bahawa Bee Yin merupakan seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.
“Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin,” kata Jamal.
Kes saman fitnah itu sepatutnya mula dibicarakan hari ini di hadapan Hakim Datuk Datuk Rozana Ali Yusoff namun ketika kes itu disebut, pihak-pihak memaklumkan mahkamah bahawa mereka bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian tersebut melalui penghakiman persetujuan.
Selain permohonan maaf tersebut, lain-lain terma penyelesaian ialah Jamal atau mana-mana ejen atau pekerjanya dilarang untuk mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebarkan pernyataan fitnah tersebut.
Jamal juga dihalang daripada mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar perkataan-perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama atau sebarang kenyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah Bee Yin.
Bagaimanapun, penghakiman tersebut tidak boleh diguna pakai atau mengikat Jamal dalam kes-kes lain yang serupa. Penghakiman persetujuan itu juga dibuat tanpa perintah mengenai kos.
Selain Bee Yin, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok turut memfailkan saman fitnah terhadap Jamal dakwaan penyalahgunaan dana sama. Kes itu akan mula dibicarakan pada 27 Mei ini.
Pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.
Menurut pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.
Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal, antara lain memberi tanggapan yang beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – UTUSAN ONLINE