Yakin kerjasama PN dan UMNO di Perlis diteruskan - Utusan Malaysia

Yakin kerjasama PN dan UMNO di Perlis diteruskan

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Meskipun UMNO memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun di peringkat di negeri ini kerjasama parti tersebut dengan Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, keyakinan kerjasama tersebut bertambah kuat selepas Pengerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim sendiri memaklumkan bahawa UMNO akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu di Perlis.

Katanya, pendirian Shahidan itu cukup positif walaupun tidak selari dengan surat yang dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

“Perkara tersebut selari dengan harapan Pas yang mahu melihat tiga parti terbesar orang Melayu itu terus berada dalam satu gabungan.

“Walaupun ada surat daripada Ahmad Zahid kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (putus kerjasama) namun suara dari Pengerusi UMNO Perlis itu amat positif untuk PN dan UMNO Perlis bekerjasama,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan kepemimpinan PN negeri dengan Muhyiddin di salah sebuah hotel, di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan bahawa UMNO Perlis akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 di sebalik keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menamatkan kerjasama itu di peringkat pusat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, Mohd. Shukri memberitahu, sebuah jawatan kuasa PN di negeri ini telah ditubuhkan.

“Perdana Menteri juga mahu fokus dan tumpuan diberikan terutama dalam menyelesaikan permasalahan rakyat termasuk memulihkan ekonomi selepas berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Turut diberi penekanan oleh Muhyiddin adalah mengenai usaha penyatuan ummah sama ada di peringkat pusat dan negeri,” kata Pesuruhjaya Pas negeri itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya