PUTRAJAYA: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan bermula 19 April ini khusus bagi warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan individu yang menghidap penyakit kronik.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, temu janji bagi suntikan dos pertama akan diberikan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai 5 April ini.
Beliau berkata, notis untuk suntikan dos pertama vaksin Covid-19 itu akan diberikan selama dua minggu sebelum tarikh janji temu mereka.
“Fasa dua PICK ini akan memberi tumpuan kepada warga emas, mereka yang mempunyai penyakit kronik dan golongan OKU.
“Sehingga semalam, MySejahtera menerima pendaftaran daripada dua juta individu yang layak bagi fasa dua daripada keseluruhan sembilan juta yang disasarkan.
“Saya yakin bilangan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dibantu pelbagai usaha dan pendaftaran secara bersemuka yang digerakkan di seluruh negara buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, di sini hari ini.
Khairy berkata, sementara menunggu dan meyakinkan kelompok fasa dua untuk mendaftar, kerajaan pada masa sama akan mendahulukan suntikan vaksin kepada mereka yang mendaftar awal bagi fasa tiga sekiranya bekalan vaksin mencukupi.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya penerima vaksin bagi fasa dua mendaftar lambat, namun mereka akan diberikan kebenaran untuk ‘memotong barisan’ bagi menerima suntikan.
Dalam pada itu, Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah mengenal pasti beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar termasuk di kawasan stadium, pekarangan stadium dan dewan persidangan bagi melancarkan fasa dua PICK ini.
“Kami akan umumkan dalam masa terdekat apabila kita mulakan fasa dua PICK nanti. Kita masih dalam perancangan untuk mengenal pasti PPV berskala besar ini.
“Tapi sudah pasti ia akan diwujudkan di bandar-bandar besar sekali gus tidak lagi bergantung kepada kemudahan dan fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN