Mahkamah keluar waran tangkap untuk pengasas Sugarbook

Waran tangkap untuk pengasas Sugarbook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas aplikasi Sugarbook apabila gagal hadir untuk sebutan semula kes yang dijadualkan hari ini.

Majistret Sabreena Bakar@Bahari memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan ke atas tertuduh, Chan Eu Boon, 34.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asnaf Anuar Sharuddin ketika ditemui berkata, pihak pembelaan sepatutnya hadir ke mahkamah untuk pengurusan dokumen.

“Namun, tertuduh (Eu Boon), peguam dan penjaminnya gagal berbuat demikian hari ini.

“Oleh demikian, saya memohon waran tangkapan dikeluarkan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sabreena menetapkan 15 Mei depan bagi sebutan waran tangkap itu.

Mengikut pertuduhan, Eu Boon didakwa menggunakan sebuah laman web dengan menyiarkan sebuah hantaran yang bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby Universiti In Malaysia’.

Usahawan dalam perniagaan teknologi maklumat itu didakwa dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam bahawa mana-mana orang akan terdorong untuk melakukan suatu kesalahan yang bertentangan dengan ketenteraman awam.

Berdasarkan pertuduhan, hantaran itu dilihat pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 6.26 petang di sebuah universiti awam, di sini.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh sama hantaran dilihat kira-kira pukul 10 pagi.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang telah bekerja di Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawa peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 24 Februari lalu, Eu Boon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Terdahulu, usahawan warga tempatan itu ditahan di pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.30 petang, 17 Februari lalu.

Penahanan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook. 

Namun, lelaki itu dibebaskan tanpa reman selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap lelaki terbabit. 

Susulan penolakan reman, pihak pendakwaan telah membuat semakan dan mahkamah membenarkan tertuduh direman. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya