Wanita UMNO akur keputusan parti - Utusan Malaysia

Wanita UMNO akur keputusan parti

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan Wanita UMNO menghormati dan akur dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 semalam yang antaranya tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Rakyat Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam satu kenyataan, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, sayap itu juga akan terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Wanita UMNO Malaysia akur dengan segala keputusan yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Wanita UMNO sekali lagi ingin menegaskan akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan Ahli MKT dalam meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi,” katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, perhimpunan semalam turut sebulat suara memberikan mandat kepada MT untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi (KPT) berkata, pergerakan itu akan terus memberi fokus dan meletakkan komitmen kepada UMNO.

“Wanita UMNO percaya apa pun keputusan UMNO, ia adalah untuk memastikan kepentingan dan kedudukan parti kerana UMNO adalah sebuah pertubuhan yang bukan sahaja memperjuangkan orang Melayu, Islam dan Raja-raja tetapi menyatukan semua bangsa.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan sentiasa memberikan seluruh komitmen terhadap perjuangan tanpa belah bagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya