Wang simpanan RM8,500 lesap ditelan pautan bank palsu  - Utusan Malaysia

Wang simpanan RM8,500 lesap ditelan pautan bank palsu 

Suami isteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang lelaki kerugian RM8,500 selepas mengemas kini akaun bank menerusi pautan palsu laman web bank di sini, Sabtu lalu. 

Ketua Polis Daerah SPU, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa berusia 38 tahun menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan akaun bank miliknya berisiko dan perlu dikemas kini segera menerusi pautan yang disertakan. 

“Mangsa menggunakan pautan terbabit untuk mengemas kini akaun selain turut mengaktifkan nombor kod autentikasi (PAC). 

“Tidak lama kemudian, mangsa menerima satu SMS nombor PAC namun tidak mengendahkannya kerana tidak melakukan sebarang urus niaga dan hanya menyedari wang simpanannya hilang pada Isnin lalu menerusi dua transaksi oleh individu yang tidak dikenali. 

“Mangsa kemudiannya menghubungi pihak bank serta membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Dalam kejadian berasingan, hasrat seorang jururawat lelaki untuk mendapatkan keuntungan pantas tidak kesampaian apabila kerugian RM6,180 selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud. 

Noorzainy berkata, mangsa yang berusia 31 tahun terlihat iklan terbabit menerusi media sosial dan berminat untuk menyertai skim pelaburan serendah RM300. 

“Mangsa dijanjikan pulangan antara RM12,000 hingga RM 15,000 dalam tempoh masa 48 jam dan bertindak melakukan dua transaksi ke dalam dua akaun berlainan seperti yang diarahkan. 

“Mangsa yang menyedari sudah ditipu kemudiannya bertindak membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut akta sama,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya