KUALA KRAI: Trek memanjat lereng atau via ferrata di Gua Ikan, Dabong, di sini mencapai ketinggian 200 meter dari aras laut selepas dinaik taraf Disember lalu, sekali gus muncul sebagai laluan tertinggi dan terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Via ferrata adalah perkataan bahasa Itali bermaksud ‘laluan besi’ dan ia merujuk kepada trek khusus untuk aktiviti sukan lasak memanjat sambil berpaut pada dinding atau lereng berbatu yang curam dan tinggi di kawasan pergunungan.
Ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini, Setiausaha Majlis Daerah Dabong (MDD), Mohd. Fadzil Aznan Abdul Aziz berkata, trek asal via ferrata di Gua Ikan sebelum ini hanya berketinggian 70 meter dari aras laut.
“Projek menaik taraf trek ini adalah inisiatif MDD bersama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Kelantan untuk menjadikan Dabong sebagai destinasi sukan lasak baharu.
“Sebanyak RM40,000 dibelanjakan bagi mengubah suai via ferrata ini iaitu menyambung laluan sedia ada supaya menjadi lebih tinggi dan panjang sekali gus memberi cabaran berganda kepada pengunjung,” katanya.
Bagi memastikan aspek keselamatan terjamin, MDD mendapatkan khidmat syarikat bertauliah dan pakar dalam sukan lasak, Assentpro Service untuk melakukan projek pengubahsuaian dan menaik taraf via ferrata itu.
Pemilik Assentpro Service, Roszaman Ismail berkata, bagi memenuhi permintaan MDD yang mahukan trek itu berakhir di puncak Gua Ikan, pihaknya memasang kabel besi dan menambah laluan hingga setinggi 200 meter dari aras laut.
“Berdasarkan rekod itu, via ferrata di Dabong sudah menjadi trek terpanjang dan tertinggi di Semenanjung Malaysia,” katanya sambil memberitahu aktiviti itu hanya sesuai untuk individu berusia 12 tahun ke atas dan tiada had berat badan.
Sebelum ini, via ferrata tertinggi di Semenanjung terletak di Paya Gunung, Jerantut, Pahang iaitu 120 meter dari aras laut manakala via ferrata di Gunung Kinabalu, Sabah bukan sahaja trek tertinggi di Malaysia, malah di dunia (3,776 meter). – UTUSAN ONLINE