SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menawarkan dua program akademik baharu dalam pengambilan penuntut sulungnya bagi sesi akademik 2021/2022, Oktober ini dengan salah satu program tersebut adalah dalam bidang pengurusan pelancongan Islam.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCAA), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, satu lagi program baharu melibatkan industri kesihatan dan kedua-duanya ditawarkan bagi peringkat sarjana muda.
Katanya, dua program akademik baharu itu ditawarkan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan dan Fakulti Sains dan Teknologi.
“Di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM menawarkan program Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian) yang memfokuskan antaranya untuk melahirkan modal insan berkebolehan sebagai pengamal industri pelancongan yang berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeusahawanan dan mampu berkomunikasi dengan baik serta mengamalkan etika kerja Islam
“Di Fakulti Sains dan Teknologi pula, ambilan pertama untuk program Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan memberi peluang kepada pelajar menceburi bidang teknologi kesihatan dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai eksekutif perubatan halal, pakar peralatan kesihatan dan perubatan, perunding, juruaudit dan pengurus peralatan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya Abdul Rahim, kedua-dua program ditawarkan dengan kerjasama pihak industri yang mana program Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan ditawarkan dalam mod kerja kursus dan 3U1i yang memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pengalaman belajar secara praktikal dengan bimbingan pengamal industri.
“Bagi program Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan yang mana berkonsepkan 2u1i iaitu dua tahun pengajian di USIM dan satu tahun di bahagian industri seperti industri pembuatan peralatan hospital, perubatan dan bahan teknologi perubatan, hospital dan pusat-pusat rawatan pesakit luar seperti pusat rehab dan dialisis.
“Bagi rekod tahun lalu, universiti mencatatkan data kebolehpasaran graduan dengan peratusan sebanyak 90. 2 peratus dan menunjukkan bahawa program akademik yang ditawarkan di USIM adalah kompetitif dan relevan seterusnya memenuhi keperluan industri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan penawaran program akademik baharu berkenaan menarik minat para penuntut khususnya aliran agama untuk mengembangkan kemahiran dan potensi dalam bidang pengurusan dan sains sekali gus membantu menjayakan visi dan misi universiti bagi melahirkan profesional muslim dalam pelbagai bidang pekerjaan.
“Dengan penawaran dua program baharu ini, kini USIM mempunyai 88 program akademik di peringkat Tamhidi, prasiswazah dan pascasiswazah,” katanya. – UTUSAN ONLINE