JOHOR BAHRU: Keputusan UMNO tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana UMNO ada perhitungan politiknya tersendiri, bukan kerana mengenepikan kepentingan Melayu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO adalah parti dengan pendirian bahawa survival UMNO itu lebih utama dari survival PN.
“Nampaknya ramai orang lupa pendirian UMNO ini berakar dari pendirian penyokong akar umbinya. UMNO parti orang kebanyakan.
“Kami bukan parti yang terbentuk dengan percaturan golongan elit yang khianat pada mandat rakyatnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, disebabkan mendengar hasrat akar umbi, UMNO memutuskan sedemikian iaitu akan bertanding sebagai Barisan Nasional (BN).
“Masa depan UMNO ditentukan rakyat bukan kerjasamanya dengan PN, rakyat jugalah yang akan menentukan jika UMNO ini akan mara atau ditumpaskan.
“Rakyatlah yang akan menentukan segala-galanya dan kepada rakyatlah kita mesti memberi segala tumpuan waktu ini. Bukannya rundingan berterusan peringkat atasan yang tidak akan mepengaruhi pemikiran rakyat pun.
“Saya menyeru kepada seluruh penyokong UMNO, kita mesti segera bekerja dengan rakyat untuk rakyat bagi memenangkan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.
Kebelakangan ini katanya, terlalu banyak sekali gesaan untuk UMNO memikirkan semula pendiriannya untuk tidak mendukung PN pada PRU15.
Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pelbagai alasan digunakan terutama retorik perpaduan ummah bahawa seolah-olah UMNO mengabaikannya.
“UMNO tidak pernah mengabaikan kepentingan ummah malah merintis jalan perpaduan Melayu dan memerdekakan negara.
“UMNOlah yang menerima kembali Semangat 46 demi perpaduan Melayu dan UMNO jugalah yang mengajak Pas untuk bersama menubuhkan Muafakat Nasional (MN),” katanya. – UTUSAN ONLINE