PUTRAJAYA: UMNO dan Pakatan Harapan (PH) boleh membentuk gabungan kuat sekali gus mampu kembali semula ke Putrajaya.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kedua-dua parti dan gabungan parti politik itu mampu tolong-menolong dan mendapat majoriti lebih besar untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.
Beliau menjelaskan, soal siapa yang memerintah dan menjadi Perdana Menteri tidak menjadi keutamaan kerana perkara itu perlu dipilih mengikut siapa yang mendapat kerusi lebih banyak.
“Apa yang mustahak kedua-dua gabungan itu boleh mendapat majoriti besar dan boleh mentadbir lebih baik. Tetapi saya tidak tahu siapa yang memerintah nanti.
“Ini adalah gabungan yang boleh membentuk kerajaan dengan majoriti besar, saya tidak tahulah siapa yang menang, tidak tahu siapa jadi Perdana Menteri nanti, pada saya itu tidak mustahak. Kerajaan yang stabil adalah lebih mustahak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai soal penerimaan DAP terhadap gabungan UMNO-PH pula, Zaid berkata, DAP perlu mempertimbangkan perkara itu kerana jika mahu berkuasa, mereka perlu bergabung dengan mereka yang kuat.
“Saya rasa mereka (DAP) orang politik berpengalaman, kalau nak berkuasa, perlu bergabung dengan mereka yang kuat lah. Kalau dia gabung dengan tidak kuat, tak boleh menang lah.
“Tidak kira UMNO ke kalau nak memerintah, dia kena bergabung untuk mendapat kerusi yang banyak, baru dapat kerajaan yang stabil,” katanya.
Sementara itu, dalam catatan Facebooknya semalam, beliau berkata, PH memerlukan strategi sama yang digunakan ketika memenangi pilihan raya pada 2018 iaitu mengikat kerjasama dengan kumpulan pemimpin Melayu yang kuat untuk menang pada pilihan umum ke-15 (PRU-15).
Justeru, beliau mencadangkan UMNO menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sebelum ini dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau memberitahu, kumpulan pemimpin Melayu berpengaruh pasti akan memberi jalan kepada pembangkang untuk menang pilihan raya.
Katanya , UMNO mempunyai pemimpin yang mempunyai kemampuan untuk mempengaruhi pengundi Melayu, dan bersama-sama PKR-UMNO akan berupaya memperoleh lebih banyak kerusi seperti ketika Barisan Nasional (BN) menguasai sebelum ini.
“Ini akan membawa kestabilan kepada negara dan banyak perkara boleh dilakukan jika kita mempunyai kerajaan yang stabil.
“UMNO juga harus berhenti mempercayai propaganda sendiri bahawa Anwar dan DAP adalah musuh rakyat. Ketakutan masa lalu mesti dibuang dan barulah impian baharu dapat terlaksana,” katanya. – UTUSAN ONLINE