IPOH: Pas menghormati pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Pas Perak, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, namun pada masa sama UMNO juga perlu menghormati pendirian Pas yang bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kalau UMNO minta kita hormati pendirian mereka untuk tidak bersama Bersatu, maka kita juga minta UMNO supaya menghormati keputusan kita untuk bersama Bersatu dalam PN,” katanya dalam sidang akhbar pada Kempen Pengumpulan Buangan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di Kampung Ulu Chepor Tambahan, di sini hari ini.
Ditanya sama ada keputusan UMNO itu mengganggu pentadbiran kerajaan negeri, Mohd. Akmal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri berkata, hubungan UMNO dan Pas Perak sangat baik.
“Hubungan Pas dan Bersatu juga sangat baik. Kita selalu berbincang antara Pas, UMNO dan Bersatu. Apabila kita (Pas) bersama dengan Bersatu, kita tidak burukkan UMNO dan apabila bersama UMNO, kita tak burukkan Bersatu,” katanya.
Mohd. Akmal menyifatkan keputusan UMNO tidak mahu kerjasama dengan Bersatu ibarat isteri pertama yang terpaksa akur dengan kehidupan bermadu.
Menurutnya, walaupun wujud perasaan tidak setuju dengan keputusan suami untuk berkahwin lain, namun sebagai isteri tetap menghormati keputusan yang dibuat.
“Sebagaimana isteri pertama membenarkan suaminya berkahwin lain, walaupun tidak setuju, dia tetap hormat suaminya bernikah lagi seorang.
“Mungkin ada perkara-perkarara yang kita tidak setuju, tapi sekurang-kurangnya kita menghormati UMNO dan UMNO juga perlu menghormati keputusan Pas untuk bersama Bersatu.
“Apabila wujud suasana ini, maka barulah bahagia ‘rumah tangga’ yang bermadu. Dia tidak setuju, tetapi dia menghormati,” katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.
Surat berkenaan juga menyatakan kebersamaan UMNO dengan kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – UTUSAN ONLINE