UMNO, Bersatu perlu bermuafakat - Rais Yatim - Utusan Malaysia

UMNO, Bersatu perlu bermuafakat – Rais Yatim

RAIS Yatim menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Geylang di Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bermuafakat demi masa depan serta kuasa politik orang Melayu.

Pemimpin veteran politik, Tan Sri Dr. Rais Yatim percaya hubungan UMNO dan Bersatu tidak ‘berpatah arang’ begitu sahaja dan meletakkan harapan kedua-dua parti berkenaan dalam kembali bekerjasama dengan turut disertai Pas.

“Saya tak percaya berpatah arang begitu sahaja, menantu UMNO ada dalam Bersatu, mentua Bersatu ada dalam UMNO, macam itu. Kawan kita MCA pun kalau tengok kita teguh dan DAP juga, (mereka) akan hormat.

“Saya tak lepaskan harapan bahawa Bersatu dan UMNO perlu bermuafakat demi bangsa, demi masa depan pemegangan kuasa itu tadi, UMNO sahaja tidak boleh berkuasa, Bersatu sahaja tidak boleh waima dengan Pas,” katanya.

Rais yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jelebu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Geylang, Simpang Pertang, dekat sini hari ini.

Menurut Rais, beliau positif terhadap jiwa bekerjasama dan memajukan negara bersama dan baginya, mana-mana orang Melayu yang tidak rela menerima untuk bekerjasama, kedudukan kebangsaannya boleh dipersoal.

“Jangan menyesal nanti apabila orang Melayu sebagai majoriti tidak mahu bersatu, inilah ujian yang utama kepada bangsa Melayu membuktikan si majoriti boleh wujudkan satu fokus yang baik untuk negara.

“Saya persoalkan siapa sahaja yang tidak mahu untuk bekerjasama demi bangsa dan negara ini mereka bukan berjuang sebenarnya sebab berpecah tidak akan memegang kuasa politik di tanah air kita,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara dalam pada itu berpandangan, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak dalam ketika ini dalam desakan demi desakan supaya Parlimen kembali bersidang.

“Semoleknya, hormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan peranan Perdana Menteri, itu tidak boleh diubah. Penentuan situasi itu terserah kepada Perdana Menteri membawa sembah kepada Agong, kalau ada apa-apa yang mahu dipinda.

“Lebih baik kita akur kepada keadaan sekarang, mungkin selepas dua bulan atau tiga bulan situasi berubah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya