PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan mengatur perbincangan dengan ulama Islam dan agamawan Kristian dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut isu kalimah Allah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pertemuan tersebut diharap dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi untuk sesi perbincangan secara harmoni.
“Saya bersetuju untuk memanggil semua ulama Islam dan agamawan Kristian tempatan daripada semua mazhab agar kita selesai isu panas ini melalui pihak kementerian,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan sebanyak tiga buah bas ‘mobile’ JPN generasi baharu di pekarangan ibu pejabat jabatan tersebut di sini hari ini.
Juga hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah selain solat, Baitullah dan Kaabah oleh penganut Kristian yang mula difailkan sejak 2008.
Ia mencetuskan kebimbangan umat Islam di negara ini selain menjejaskan keyakinan masyarakat Melayu terhadap imej kerajaan Perikatan Nasional yang gagal dalam isu itu.
Ditanya tindakan parti-parti tempatan dari Sabah dan Sarawak yang meminta kerajaan tidak meneruskan rayuan ke atas keputusan mahkamah itu, Hamzah berkata ia prosedur biasa.
“Pejabat Peguam Negara apabila ‘kalah’ sesuatu kes melibatkan isu berkaitan perlembagaan, ia akan terus buat proses rayuan seperti biasa dan ia bukan pun perkara baharu,” katanya.
Beliau turut ditanya pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan ‘kartel’ bagi menjatuhkan dirinya, Hamzah berkata beliau juga tidak tahu-menahu.
“Saya sebagai Pengerusi SPP (Suruhanjaya Pasukan Polis) baru pertama kali dengar ada kartel dalam perkhidmatan polis. Saya akan lihat semula jika betul ia ada wujud,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta Abdul Hamid agar tampil membawa isu berkenaan dalam mesyuarat SPP untuk tindakan susulan terhadap mana-mana pegawai dan anggota terlibat.
Ini kerana ujar beliau sebarang isu berkaitan pelucutan, hukuman atau penggantungan tugas penjawat polis perlu melalui SPP yang kelazimannya bermesyuarat sekali dalam sebulan.
Abdul Hamid dilaporkan media belum belum membuat laporan polis berhubung isu itu namun memberi amaran akan mendedahkan kerana mendakwa ada bukti cubaan kartel tersebut.
Malah beliau menyifatkan budaya berpasukan kecil bagi mewujudkan kluster atau koloni tersendiri dengan menguasai jawatan tertinggi sebagai perbuatan yang amat jijik. – UTUSAN ONLINE