KUALA LUMPUR – UEM Edgenta Berhad mengukuhkan jalinan kerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk mengembangkan penyelesaian digital dalam operasi penyelenggaraan lebuh raya sekali gus mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan mereka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, UEM Edgenta menerusi anak syarikatnya di bahagian Penyelesaian Infrastruktur, Edgenta PROPEL Berhad telah melaksanakan pelbagai inisiatif teknologi berinovatif yang dapat meningkatkan tahap kecekapan operasi dan standard keselamatan seterusnya menjadikannya sebuah syarikat penyedia penyelenggaraan lebuh raya terkemuka di rantau ini.
“Melalui penggunaan teknologi terkini, kami telah membangunkan sebuah sistem yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Aset Jalan (RAMS) yang membolehkan kami merancang aktiviti penyelenggaraan jalan raya untuk jangka pendek dan jangka panjang, di samping mengutamakan tanggungjawab kami dalam menguruskan lebih daripada 1,000 kilometer aset lebuh raya bagi PLUS.
“Kelebihan utama sistem ini bersama gabungan pengalaman dan pengkhususan kami, membolehkan kami untuk membuat perancangan pengurusan aset jangka panjang dan mengekalkan masa kerja penyelenggaraan yang optimum di beberapa lokasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengehadkan perjalanan rentas negeri di seluruh negara sekali gus mengurangkan penggunaan lebuh raya membolehkan PLUS dan UEM Edgenta mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti penambahbaikan yang berterusan dan kajian penanda aras baharu untuk meneroka serta menetapkan standard keselamatan dan operasi yang dipertingkatkan.
Antara pelan penambahbaikan yang diperkenalkan berikutan kajian yang dijalankan sejak 2019 adalah memperkemas Perjanjian Tahap Perkhidmatan antara Perjanjian Penyelenggaraan Induk PLUS dan standard tahap perkhidmatan M1 Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); menubuhkan kit penyelenggaraan Desired Service Level; penggabungan aktiviti-aktiviti penyelenggaraan; penilaian penggunaan aset sebagai ‘Traffic Light Concept’ di samping merasionalisasikan tahap penggunaan peralatan dan barang habis pakai; serta kontrak berdasarkan output.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail memaklumkan, PLUS komited untuk terus menyampaikan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya bagi tujuan komersial mahupun santai memandangkan rangkaian lebuh raya antara bandar merupakan nadi penghubung utama negara dan menyumbang kepada rangsangan pertumbuhan ekonomi, terutamanya ketika fasa pemulihan negara.
Mengulas mengenai aspirasi yang diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya dalam pelancaran Pelan Organisasi Strategik, beliau mengharapkan kerjasama erat antara PLUS dan UEM Edgenta untuk mendukung salah satu aspirasi utama kementerian bagi meningkatkan tadbir urus organisasi dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Rangkaian rakan perkhidmatan penyelenggaraan lebuh raya UEM Edgenta dianggotai lebih daripada 200 syarikat bumiputera yang berpengalaman dan berkebolehan. Kami amat menghargai mereka sebagai pihak berkepentingan utama dalam rangkaian kami dan akan sentiasa memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka dijaga, terutamanya dalam tempoh peralihan pascapandemik ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE