PETALING JAYA: Tugas Ketua Pegawai Media Barisan Nasional (BN) digantung sebulan berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan berhubung kekhilafan kenyataan media Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai persidangan Parlimen.
Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab. Aziz berkata, beliau menubuhkan siasatan dalaman pagi ini bagi membincangkan penyiaran kenyataan media yang tidak mendapat kelulusan sekretariat Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu selain kurang tepat seperti telah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat dewan tersebut.
“Merujuk kenyataan media Pengerusi BN bertarikh 4 Mac, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ada sedikit kekeliruan terhadap kenyataan berkenaan atas kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN.
“Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya menggantung tugas Ketua Pegawai Media BN bagi tempoh satu bulan berkuat kuasa serta-merta. Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid menerusi kenyataan media selaku Pengerusi BN antara lain mengesyorkan ahli parlimen menyeru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah agar sidang Parlimen diadakan segera.
Malah beliau merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.
Sebaliknya, tiga parti komponen BN iaitu MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyanggah kenyataan Ahmad Zahid itu dan mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Rabu lalu juga mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen.- UTUSAN