PUTRAJAYA: Trend kes positif Covid-19 diyakini akan terus menurun untuk beberapa bulan akan datang ditambah pula dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melibatkan tiga fasa yang bermula bulan lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selama hampir dua bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dan berkat kesabaran serta kesungguhan semua pihak, negara sedang menuju kejayaan dalam menangani wabak itu.
Katanya, jika dahulu, purata kes harian direkodkan sekitar 4,000 hingga 5,000 tetapi pada kali ini, trend kes semakin menurun ke paras 1,000 lebih sehari.
“Hari ini, genap setahun Malaysia melaksanakan PKP bagi mengawal penularan Covid-19 selepas pandemik ini mula dikesan di negara kita pada Januari 2020. Dalam tempoh setahun ini, pelbagai cabaran telah kita lalui bersama.
“Saya percaya, setiap daripada kita mempunyai pengalaman dan cerita tersendiri. Saya juga pasti, kita impikan kehidupan normal seperti sebelum ini. Namun hakikat yang perlu diakui, virus ini akan terus bersama kita untuk satu tempoh yang kita sendiri tiada jawapannya. Maka, kita mesti terus menjalani kehidupan dengan norma baharu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Ismail Sabri berkata, negara pernah berjaya melandaikan kes menjadi sifar sebelum ia kembali meningkat pada Disember tahun lalu.
Maka, katanya, tidak mustahil kejayaan itu boleh berulang lagi tetapi semua pihak harus berganding bahu dan bekerjasama untuk melandaikan pandemik ini.
Beliau berkata, kerajaan sedar impak daripada pandemik Covid-19 menyebabkan rakyat terkesan hingga ada yang hilang punca pendapatan.
Kerana itu, katanya, pelbagai bantuan dan inisiatif diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat dengan terbaharu, kerajaan memperkenalkan beberapa lagi bantuan termasuk Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) demi meringankan beban dan merangsang semula ekonomi negara dan rakyat.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa lelah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan kita bersama.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh rakyat di negara ini yang sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sekali gus membolehkan kita melandaikan lekuk ke tahap yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN