Trak polis bawa 29 banduan terbakar - Utusan Malaysia

Trak polis bawa 29 banduan terbakar

Keadaan trak polis yang membawa 29 banduan terbakar manakala mangsa terbaring di atas jalan raya dalam kejadian di Kampung Demit, Kota Bharu hari ini SUMBER Media Sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Trak polis yang membawa 29 banduan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal sebelum musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Demit di sini hari ini.

Ketika kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kesemua banduan berjaya diselamatkan namun penunggang motosikal jenis Yamaha LC135, Muhammad Khalis Mifzal Mohd. Kamal, 21, maut di lokasi nahas.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa meninggal dunia selepas cedera parah pada kepala dipercayai akibat digilis trak yang terbakar sehingga 80 peratus dalam kejadian itu.

Katanya, sebelum nahas, trak polis terbabit berkonvoi dengan sebuah lagi trak lain yang membawa 30 lagi banduan dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu ke Batu Jong, Kuala Krai.

“Penunggang motosikal pula dikatakan datang dari arah Kubang kerian ke Pengkalan Chepa untuk menghadiri kelas latihan memandu.

“Setiba di lokasi, mangsa merempuh sebuah kereta Proton Saga dari arah sama sebelum bergesel dengan trak polis yang dari arah bertentangan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Shafien, insiden itu menyebabkan motosikal berkenaan terperosok ke bawah trak polis manakala mangsa pula tercampak di atas jalan raya.

“Semua banduan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun dipindah ke dalam sebuah lagi trak polis dan ditempatkan di lokap balai Polis Kubang Kerian buat sementara waktu sebelum dihantar ke Kuala Krai.

“Mayat mangsa yang berasal Pintu Geng dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat,” katanya sambil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, saksi kejadian, Zizah Yusoff, 51, yang berniaga berhampiran lokasi kejadian terkejut selepas mendengar dentuman kuat akibat nahas.

“Saya lihat sebuah motosikal berada di bawah trak polis manakala penunggangnya terbaring di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah.

“Anggota polis kemudian cepat-cepat menyelamatkan banduan keluar dari trak dan membawa mereka ke tempat selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya