Top Glove tidak pasti impak sekatan AS - Utusan Malaysia

Top Glove tidak pasti impak sekatan AS

Prestasi kewangan tahunan Top Glove yang baik disebabkan permintaan sarung tangan yang tinggi, ditambah dengan peningkatan purata harga jualan (ASP) yang didorong oleh pandemik Covid-19. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) tidak pasti sejauh mana impak sekatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di Amerika Syarikat (AS) terhadap aspek kewangan dan operasi kumpulan itu.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, pihak perundangan kumpulan syarikat itu di AS sedang berhubung dengan wakil-wakil CBP untuk memperoleh penerangan dan maklumat lanjut berkaitan arahan yang dikeluarkan itu.

“Sebelum ini kami telah menyerahkan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa bebas yang dilantik CBP untuk membuat kajian.

“Dalam kenyataan yang di terbitkan pada 9 Mac lalu, perunding tersebut berpendapat bahawa perkembangan lebih lanjut telah dicapai berkaitan petunjuk buruh paksa dan mempertimbangkan tindakan berterusan Top Glove, penemuan itu tidak sama dengan sistem buruh paksa,” katanya.

Syarikat sarung tangan terbesar dunia itu turut memaklumkan kepada pihak berkepentingannya, yang pihaknya akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mengatasi masalah itu dan akan membuat pengumuman apabila perlu dengan wajar setelah ada perkembangan lanjut tentang perkara tersebut.

Kelmarin, CBP memaklumkan bahawa pihaknya akan merampas semua produk sarung tangan getah pakai buang yang dihasilkan di Malaysia oleh Top Glove di pelabuhannya.

Ia berikutan dapatan yang diperolehi CBP bahawa Top Glove menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produknya.

Top Glove yang mendapat keuntungan tinggi tahun lalu susulan peningkatan permintaan sarung tangan disebabkan pandemik Covid-19 sebelum ini diselubungi skandal apabila ribuan pekerja asingnya dijangkiti Covid-19.

Terdahulu, CBP telah menyekat produk sarung tangan daripada dua anak syarikat Top Glove selepas mengesyaki kedua-dua syarikat tersebut menggunakan buruh paksa dalam operasinya.

Keadaan bertambah buruk apabila CBP mendakwa mempunyai maklumat yang cukup untuk membuat kesimpulan bahawa Top Glove terlibat dalam penggunaan buruh paksa.

Pegawai kanan CBP, Troy Miller malah menegaskan pihaknya tidak akan bertoleransi dengan eksploitasi yang dilakukan syarikat asing terhadap pekerja rentan dan tanpa etika membekalkan barangan kepada pengguna AS.

Saham Top Glove ditutup 5.35 peratus lebih rendah semalam pada RM4.78 sesaham selepas dibuka pada RM4.97 sesaham pada sebelah pagi.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya