KLANG: Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) tertimbus hingga paras kepala dalam lubang sedalam 2.5 meter ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel di Jalan Haji Abdul Manan 1, Taman Industri Meru di sini sebelum diselamatkan.
Mangsa, Muhammad Mustajrim Md Kamalrudin, 22, mangsa menahan sakit hampir tiga jam sebelum berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 2.36 petang dan tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
“Ketika kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel berhampiran longkang besar yang airnya penuh.
“Mangsa yang sedang bekerja di dalam lubang yang dikorek untuk memasang kabel, secara tiba-tiba berlaku rebakan tanah menyebabkan mangsa tertimbus sehingga menutupi paras kepala dalam keadaan kedudukan berdiri.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 5.08 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kini dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. – UTUSAN