SABAK BERNAM: Ibu kepada Nor Hayati Abdullah, 42, mangsa tragedi runtuhan jejambat pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Kuala Lumpur, semalam tidak menyangka kepulangan anaknya itu pada minggu lalu adalah kali terakhir.
Ibu mangsa, Hasmah Sohor, 77, berkata, anak bongsunya itu yang menetap di AU2 Keramat, Kuala Lumpur pulang ke kampung bersama kakaknya, Sabahah, 47, pada 25 Februari lalu.
“Setiap kali arwah pulang bercuti, dia akan membawa semua anak saudaranya bersiar-siar di ke pekan Bagan Terap. Arwah memang seorang yang penyayang dan rapat dengan ahli keluarga terutama anak saudaranya.
“Apabila menantu lelaki memaklumkan dia meninggal dunia akibat tragedi tersebut pada pukul 10 malam, luluh hati saya dan langsung tidak menyangkanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap, Sungai Besar di sini hari ini.
Semalam, dua pekerja kilang maut manakala tiga termasuk pemandu van lagi cedera dalam tragedi runtuhan berkenaan.
Nor Hayati dilaporkan maut di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakannya, Nuriana Edwin Abdullah, 47, selepas van kilang yang dinaiki dihempap runtuhan binaan berkenaan ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dalam kejadian kira-kira pukul 5.58 petang.
Dalam pada itu, Hasmah berkata, pemergian anak bongsunya itu amat terkesan dengan dirinya kerana merupakan kehilangan kedua dalam tempoh dua tahun.
Jelasnya, pemergian anak ketiganya, Laila Hayati, 43, meninggal dunia akibat kanser payu dara pada 9 Mac 2019 lalu masih tidak dapat dilupakan, kini kesedihan yang sama berulang lagi.
“Tiada apa mampu saya ungkapkan kerana kedua-dua anak ‘pergi’ dalam bulan sama namun tahun yang berbeza,” ujarnya.
Tambahnya, jenazah anak bongsu daripada lima beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Pusing selepas selesai proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE