IPOH: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawainya yang bersubahat melepaskan suspek sindiket Macau scam di Pulau Pinang.
Abdul Hamid berkata, tindakan pegawai berpangkat Inspektor itu adalah satu pengkhianatan kepada amanat beliau dan juga pasukan.
“Daripada siasatan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), memang wujud kesalahan itu dan kita akan mengambil tindakan sedrastik yang boleh.
“Ini terang-terang satu pengkhianatan kepada amanat yang saya beri kepada semua pegawai-pegawai untuk hentikan perbuatan sebegini yang melanggar peraturan di mana melakukan kesalahan di bawah kanun keseksaan, memang akan didakwa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus ‘Private Pilot’s Licence (PPL)’ No. 18 Siri 01/2019 di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.
Abdul Hamid berkata demikian ketika mengesahkan penglibatan seorang pegawai polis melepaskan beberapa individu dipercayai ahli sindiket Macau Scam di negeri tersebut.
Difahamkan, pegawai itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi kesalahan melibatkan warga polis, beliau tidak lagi cenderung mengambil tindakan tatatertib kerana menyifatkan hukuman itu tidak setimpal.
“Di bawah bidang kuasa saya adalah tindakan tatatertib namun paling tinggi pun lucut hak emolumen selama tujuh hari.
“Bagi kesalahan berat, saya serahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang diketuai Menteri. Buang kerja atau turun pangkat adalah di bawah kuasa mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE