Tiada niat persenda, hanya sebar kebaikan - Chef Dave

Tiada niat persenda, hanya sebar kebaikan – Chef Dave

CHEF DAVE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Chef Dave atau M. Kalidevan menjelaskan dia tiada niat untuk mempersenda atau memburukkan mana-mana pihak apabila menggunakan perkataan Allah atau merujuk kepada mana-mana ayat al-Quran selama ini yang disifatkan sudah sebati dengan dirinya sejak kecil.

Menurut anak jati Jementah yang berusia 29 tahun itu, dia menghormati semua kaum dan bangsa apatah lagi dibesarkan di kampung yang mempunyai ramai orang Melayu. 

“Tambahan lagi, saya juga pernah belajar Tasawwur Islam selama dua tahun, jadi tidak timbul isu saya mahu mempersendakan mana-mana ayat suci atau mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Tukang masak yang popular dengan masakan Vegan (berasakan sayuran) ini menyatakan demikian apabila dirinya terpalit menerima maklum balas yang negatif dari sesetengah pihak apabila kenyataannya dalam sebuah artikel disalah ertikan.

Terdahulu, melalui satu artikel disiarkan akhbar ini, Chef Dave berkongsi, walaupun dia bukan seorang Muslim tetapi sejak kecil lagi berpegang kepada sepotong ayat yang berbunyi “Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah nasibnya.” (Surah Ar-Ra’d :11).

Perkongsian sepotong ayat al-Quran tersebut di dalam artikel berkenaan telah menerima pelbagai reaksi daripada warganet terutama di platform media sosial miliknya. 

Mengulas lanjut, Chef Dave berkata, dia sentiasa menghormati nilai-nilai murni yang diterapkan dalam semua agama tanpa ada sebarang prejudis. 

Malah, dia turut menyatakan memahami waktu solat pekerja muslim atau rakan-rakan lain yang pergi ke gereja pada hari Ahad dan sebagainya ketika bekerja di sebuah hotel dan kapal persiaran suatu ketika dahulu. 

Selain itu, ujar Chef Dave, pergaulannya dengan rakan-rakan berbilang kaum di Malaysia menjadikan dia lebih terbuka menerima ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama. 

“Lagipun kandungan video saya bukan mengenai bab agama. Ianya sekadar ekspresi semula jadi dan spontan daripada saya. Saya masih ingat Ustaz saya dulu beritahu tak salah kalau kita memang ‘refer to Allah’

“Tapi Ustaz saya ‘salah’ sebab di dunia ini ramai yang bukan fikir macam Ustaz saya dulu,” kongsinya. 

Kata Chef Dave juga, dia sudah berhenti menggunakan kalimah Allah ketika muncul dalam siaran langsung (live streaming) video-videonya di media sosial ketika berkongsi menu masakan.

“Saya faham dalam dunia sosial media ini sememangnya susah untuk memuaskan hati semua orang dan saya perlu belajar untuk menjadi seseorang yang orang lain lebih selesa dengan kehadiran saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN