PUTRAJAYA: Tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku pada tahun ini susulan negara kini berada pada Fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei 2021.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil 1 Tahun 2021 di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya.
Katanya, mesyuarat diadakan bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, tindakan setiap agensi semasa cuaca panas dan kering, tindakan penambahbaikan dan mengatur strategi dalam menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu setempat dan merentas sempadan.
“Saya dimaklumkan semasa fasa ini, kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam.
“Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April tahun ini. Bagaimanapun, tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, fenomena ini adalah normal dan berlaku sekitar Februari hingga April pada setiap tahun.
Bagi Februari lalu katanya, jumlah hujan bulanan terendah pada Februari 2021 adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0 milimeter manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ْ°C di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari lalu.
“Sebanyak 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Januari 2021 hingga 10 Mac 2021 di mana sebanyak 29 kes kebakaran berskala besar melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah.
Semua kes kebakaran telah berjaya dipadamkan. JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 field citation, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram dan menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan.
“Kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE