JOHOR BAHRU: Angkara cemburu, seorang suami bertekad menembak mati isterinya di bahagian dada dari jarak dekat menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumahnya di Taman Saujana, Kota Tinggi, Isnin lalu.
Setelah membunuh mangsa yang berusia 38 tahun, suspek berusia 43 tahun itu menyumbat isterinya di dalam tong plastik sebelum menanam mayat wanita berkenaan di sebuah ladang di Bandar Penawar yang terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, kira-kira pukul 4.30 pagi hari yang sama.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis pada awalnya menerima laporan berkaitan orang hilang melibatkan seorang wanita kepada dua orang anak di Kota Tinggi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dijalankan mendapati mangsa yang bekerja sebagai kerani swasta dikatakan keluar rumah kira-kira pukul 2 pagi akibat berlaku perselisihan faham dengan suaminya.
Katanya, susulan siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan dua individu iaitu suami mangsa yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dan seorang rakan lelaki tersebut berusia 32 tahun untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan lanjut terhadap tangkapan ini, suami mangsa mengaku membunuh isterinya di rumah sewaktu tidur menggunakan senapang angin sebelum dimasukkan ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar.
“Kemudian mayat isterinya dibawa ke kawasan ladang di Bandar Penawar untuk ditanam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki berusia 32 itu adalah jiran suspek yang menolongnya untuk mengangkat tong berisi mayat mangsa ke dalam bonet kereta.
Ayob Khan berkata, pada pukul 10.30 pagi, dengan dipandu arah oleh suspek, mayat mangsa ditemukan ditanam sedalam dua meter di kawasan ladang berkenaan, semalam.
Menurutnya, polis merampas selaras senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta sebuah jengkaut.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat, polis menjumpai surat tuntutan fasakh dan dipercayai mereka dalam proses perceraian. Sebelum ini, mangsa tidak pernah membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga.
“Siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pemilikan senjata api dan polis sedang menyiasat dari mana dia mendapatkan senjata api berkenaan, malah suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes pemilikan senjata api dan mendatangkan kecederaan,” ujarnya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960. – UTUSAN ONLINE