Tekun Nasional peruntuk RM500 juta bantu peniaga kecil

Tekun Nasional peruntuk RM500 juta bantu peniaga kecil

NAJWAH Halimah Alim (tengah) bersama penerima dalam program Back To School Tekun Nasional yang diadakan di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional menerima peruntukan tambahan sebanyak RM280 juta daripada kerajaan bagi membolehkan pihaknya membantu lebih ramai usahawan mikro di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Najwah Halimah Alim berkata, peruntukan tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan Tekun Nasional bagi tahun ini sebanyak RM500 juta.

Jelasnya, peruntukan itu bagi membantu individu yang mahu memulakan perniagaan termasuklah mereka yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan prihatin dengan situasi masyarakat di mana ramai antara mereka yang bukan sahaja terjejas pendapatan, tetapi juga kehilangan kerja dan beralih kepada perniagaan secara kecil-kecilan.

“Atas keprihatinan itu, kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM280 juta. Ditambah dengan peruntukan sedia ada Tekun Nasional sendiri sebanyak RM220 juta, bermakna Tekun Nasional menyediakan peruntukan keseluruhan RM500 juta bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Back To School Tekun Nasional di Mydin Mall Mutiara Rini, di sini hari ini.

Tambah Najwah Halimah, pihaknya juga telah menerima peningkatan permintaan pembiayaan bagi menjalankan perniagaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

“Setakat ini, kita telah menerima permohonan membabitkan kira-kira 70 peratus daripada jumlah peruntukan yang disediakan. Permohonan ini sedang dalam proses.

“Sementara itu, kita turut memperkenalkan beberapa skim pembiayaan termasuklah Skim Pembiayaan Informal (Spin) bagi mereka yang berniaga dari rumah, serta skim pinjaman bagi individu yang mahu menceburi bidang perniagaan berasaskan kesukanan,” jelasnya.

Sementara itu, dalam program berkenaan, beliau memberitahu seramai 100 murid dan pelajar sekolah menerima sumbangan beg dan kelengkapan persekolahan, selain turut menerima baucar bernilai RM50 setiap seorang.

“Ini merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami kepada masyarakat, di mana ia sebelum ini tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan baharu disambung semula hari ini.

“Program Back To School ini akan turut dilaksanakan di beberapa negeri lain dalam masa terdekat termasuk di Kelantan, Sarawak dan Melaka,” ujarnya lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN