BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 3,002 batang pokok tecoma atau nama saintifiknya Tabebuia spp. yang ditanam Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam usaha menceriakan kawasan di Seberang Perai sejak hampir empat tahun lalu kini mula membuatkan hasil.
Usaha yang pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) itu kini bukan sahaja mendapat pujian penduduk setempat malah menjadi tarikan kepada mereka yang baru pertama kali ke Seberang Perai pada masa ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata kawasan yang ditanam dengan pokok yang berbunga sebanyak dua kali setahun itu kini diwarnai dengan pelbagai warna ceria seperti suasana musim sakura di Jepun dan Korea Selatan.
Menurut Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, sehingga kini terdapat 13 lokasi penanaman pokok tecoma dengan empat daripadanya terletak dalam daerah Seberang Perai Utara; lima di Seberang Perai Tengah dan empat di daerah Seberang Perai Selatan.
Jelas Rozali, kebiasaannya pokok itu akan berbunga antara Mac hingga April dan September hingga Oktober pada setiap tahun.
“Antara keistimewaan pokok ini ialah mempunyai aktiviti (berfungsi) seperti antibakteria dan antimalaria selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan perumahan.
“Pada masa sama, tecoma juga menyajikan pemandangan yang indah dan mempersonakan seperti berada di luar negara terutamanya Jepun dan Korea Selatan,” katanya di sini semalam.
Rozali berkata, spesies tecoma berasal dari benua Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Pokonya bersaiz sederhana besar iaitu antara 15 hingga 20 meter tinggi selain membentuk silara atau rimbunan daun di atas pokok secara bertingkat-tingkat.- UTUSAN ONLINE