GEORGWTOWN: Lagi sindiket dadah berjaya dilumpuhkan. Polis kali ini menumpaskan sindiket pengedaran membabitkan syabu berjumlah 623.8 kilogram (kg) bernilai RM22.46 juta.
Nilai rampasan tersebut adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun di negeri ini.
Sindiket tersebut ditumpaskan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, pada pukul 2 pagi, dua anggota tersebut terserempak dengan sebuah lori dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kebun Nenas, Bukit Mertajam.
Menurut beliau, ketika dihampiri tiga lelaki dari kedua-dua kenderaan tersebut melarikan diri sebelum seorang daripada mereka iaitu lelaki Indonesia berusia 23 tahun berjaya ditahan.
“Siasatan ke atas lelaki yang ditahan mendapati sindiket itu sedang memindahkan sebanyak 495 bungkusan dadah seberat 512kg ke dalam kenderaan SUV berkenaan untuk dibawa ke sebuah kondominium di Juru Sentral dekat sini,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Razarudin memberitahu, pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu menemukan 101 bungkusan lagi dadah seberat 107kg yang disembunyikan di ruang khas di bawah lantai lori berkenaan.
“Polis yang meneruskan pemeriksaan ke sebuah kondominium di Juru Sentral menemukan lima lagi bungkusan dadah seberat kira-kira 5kg,” katanya.
Menurut beliau, dadah yang diseludup dari Thailand itu dibawa dengan lori berkenaan ke negeri ini dan berjaya melepasi sekatan jalan raya (SJR) selepas diisytihar membawa barangan keperluan asas (essential services).
Ujarnya, ketika melalui SJR, lori berkenaan tidak membawa sebarang muatan dan tidak dilitupi kanvas manakala dadah yang dibawa disembunyikan di dalam ruangan khas di bawah lantai lori berkenaan.
Sehubungan itu, jelas beliau, polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan di Kulai dan Seri Alam, Johor dan seorang di Sungai Buloh, Selangor masing-masing berusia antara 27 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan rampasan dadah tersebut.
Dalam masa sama tambahnya, polis sedang giat memburu dua lagi warga Indonesia yang melarikan diri termasuk mendapat kerjasama polis Indonesia dan mereka dipercayai masih lagi bersembunyi di dalam negara.
Mengulas lanjut Razarudin berkata, sindiket dadah itu dikesan mula aktif sejak Jun tahun lalu dan sebahagian dadah yang dirampas berkenaan dipercayai cuba diseludup ke Aceh, Indonesia menerusi jalan laut manakala sebahagian lagi untuk pasaran tempatan.
“Jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 3.12 juta penagih dadah,” katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman antara enam hingga tujuh hari bermula Jumaat dan Sabtu lalu. – UTUSAN