MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri akan ‘mengetuk pintu’ 400 buah rumah secara mengejut bagi memeriksa proses pengasingan sisa pepejal sepanjang bulan ini.
Pengarahnya, Khairuladha Ab. Mutalib berkata, operasi itu dijalankan bermula 1 Mac lalu dan diteruskan sehingga hujung bulan ini dengan pemeriksaan dijalankan khususnya di kawasan taman perumahan di seluruh negeri.
Katanya, operasi itu dilakukan bagi melihat sendiri kepatuhan masyarakat mengenai proses pengasingan sisa pepejal di rumah masing-masing.
“Operasi ini bagi memantau kepatuhan rakyat dalam melakukan proses pengasingan sisa pepejal. Sekiranya ada penduduk yang tidak melaksanakannya, kompaun boleh dikeluarkan selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
“Penduduk di premis bertanah yang tidak mengasingkan sisa pepejal pula boleh dikompaun sebanyak RM50 bagi kesalahan pertama dan RM100 bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan ketiga, nilai kompaun sehingga RM500 boleh dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SWCorp di Bangunan Graha Maju di sini, hari ini.
Menurut Khairuladha, premis bertingkat yang tidak mengasingkan sisa pepejal dikenakan kompaun sebanyak RM100 untuk kesalahan pertama, RM200 bagi kesalahan kedua dan RM500 bagi kesalahan ketiga.
“Sekiranya didapati kesalahan sama berulang untuk kali keempat, tiada lagi kompaun diberikan, sebaliknya terus dibawa ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, pihaknya mengenal pasti sebanyak 57 lokasi aktif pembuangan sampah haram di seluruh negeri.
“Kita akan melakukan pembersihan di semua lokasi terlibat dan menutup terus kawasan tersebut.
“Kawasan dalam daerah Melaka Tengah dikesan yang paling banyak melakukan pembuangan sampah secara haram, khususnya membabitkan sisa industri,” katanya.
Jelasnya, modus operandi pembuangan adalah sampah akan dibuang pihak tidak bertanggungjawab sekitar pukul 6 petang dan ke atas. – UTUSAN ONLINE