Suspek tembak mati isteri dituduh dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Suspek tembak mati isteri dituduh dalam masa terdekat

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suspek kes pembunuhan melibatkan seorang suami yang menembak mati isterinya di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi dekat sini pada 1 Mac lalu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu sedang dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Menurut beliau, ketika ini polis masih menunggu keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas mayat mangsa.

“Sekiranya mereka (ahli keluarga) boleh mengesahkan mayat itu adalah mangsa senanglah, benda itu sudah selesai. Tetapi mereka tidak dapat mengesahkan, jadi polis kena tunggu laporan DNA.

“Kalau ikutkan benda asas, suspek sudah mengaku dia yang bunuh mangsa dan berdasarkan pakaian yang dipakai, ia dapat disahkan. Tetapi keluarga tidak dapat sah dan cam kerana mayat sudah bengkak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mayat mangsa yang merupakan seorang kerani sumber manusia di sebuah kilang swasta ditemukan dalam tong air berwarna biru yang ditanam suspek berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Felda Papan Timur, Bandar Penawar.

Rahsia pembunuhan kejam itu bagaimanapun terbongkar selepas jiran yang juga rakan suspek menyalurkan maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dibuat.

Mangsa yang berusia 38 tahun itu ditembak kira-kira pukul 2.30 pagi, 1 Mac lalu dengan menggunakan senapang angin pada jarak dekat di rumah pasangan itu di Taman Sri Saujana sebelum mayatnya ditanam.

Suspek yang merupakan suami kepada mangsa berusia 43 tahun dan rakannya yang berusia 32 tahun kini ditahan reman selama enam hari bermula Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya