ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan ucapan tahniah kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-88 pada hari ini.
Baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Perkhidmatan Diraja bertitah, baginda berbangga dengan peranan dimainkan TDM dalam menjadi tunjang kepada kedaulatan negara ini.
Titah baginda, peranan dimainkan TDM dalam mengurus dan mengendalikan keselamatan negara amat besar selain penglibatan peringkat antarabangsa di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Mengambil kira situasi terkini, penularan Covid-19 menjadikan tugas TDM kian mencabar untuk berdepan musuh yang tidak nampak di mata. Ketika ini TDM turut terlibat dengan pelbagai operasi sebagai petugas barisan hadapan bersama pasukan lain.
“Situasi ini telah mewujudkan hubungan baik dan harmoni antara pasukan keselamatan dan petugas kesihatan terlibat. Beta turut berbangga dengan penglibatan TDM dalam penubuhan hospital medan di Tawau dan Serdang serta membantu dalam urusan penghantaran vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff dan seluruh kerabat diraja menzahirkan penghargaan serta terima kasih atas sumbangan bakti TDM yang telah berkorban masa, jiwa dan raga demi kedaulatan tanah air.
“Semoga Allah melindungi dan mengurniakan kesejahteraan buat TDM agar mereka dapat terus menabur bakti serta jasa demi agama, bangsa dan negara,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE