PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum lagi dapat memuktamadkan status Agama Melayu kerana masih menunggu maklum balas daripada Majlis Raja-Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya sedang menanti persetujuan Majlis Raja-Raja sebelum boleh diwartakan.
“Kami (Jakim) biasanya hanya akan memberi komen apabila sudah menerima maklum balas rasmi daripada Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja,” katanya ketika ditanya wartawan.
Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 anjuran oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Wanita Yadim (Maya) di sini hari ini.
Juga hadir ialah Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengerusi Maya, Prof. Madya Dr. Safinar Salleh.
Pada 24 Februari lalu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh mengesahkan ajaran dibawa oleh wanita tempatan, Wan Norhayati Wan Alias itu sudah dibincangkan semua mufti.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam itu sudah dibawa pihak Jakim kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenan sebelum diumum.
Namun, kelewatan agak lama proses pewartaan status ajaran disebarkan bekas wartawan yang juga dikenali sebagai Ibu Yati itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam.
Ia susulan penahanan wanita itu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Hulu Langat pada 3 Mac lalu sebelum didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di Shah Alam keesokannya.
Mengulas lanjut, Zulkifli menambah, pihak Jakim akan mengadakan pertemuan dengan JAIS bagi meneliti isu sensitif berkenaan selain pelbagai perkara panas yang lain di negeri itu.
“Insya-Allah, kita akan berjumpa sendiri terus dengan pihak JAIS bagi berbincang segala isu hangat yang berkait rapat perihal ajaran Islam di Selangor dalam masa terdekat,” jelasnya.
Ini termasuk isu kontroversi usahawan terkenal, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang baru-baru ini didakwa menghina agama Islam dan kemudian mengancam murtad.
Ditanya adakah kemungkinan pihak Jakim turut bersedia dalam membantu untuk mencari individu berkenaan yang dilaporkan hilang, beliau berkata, perkara itu diuruskan sendiri oleh JAIS.
“Cukuplah, biar sahaja pihak JAIS yang cari (Nur Sajat), Jakim pun kebetulan ada banyak lagi kerja hendak dibuat di seluruh negara pada masa ini,” kata Zulkifli tanpa menjelaskan lanjut. -UTUSAN ONLINE