JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat di seluruh negeri ini dibenar untuk diadakan mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.
Titah baginda, kebenaran itu akan berkuatkuasa bermula pada solat Subuh esok, sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menerusi satu kenyataan, kebenaran itu dibuat demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di negeri Johor.
“Solat Jumaat di masjid dan surau yang diberikan kebenaran serta solat fardu lima waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan.
“Antara lain yang turut dibenarkan termasuklah kuliah dan membudayakan al-Quran, bacaan Yasin dan tahlil, solat hajat dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas,” titah baginda di sini, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Sultan Ibrahim turut berkenan membenarkan solat terawih, tadarus al-Quran dan qiamulail diadakan dalam tempoh bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
“Jamuan berbuka puasa dan sahur turut dibenarkan namun makanan perlulah disediakan secara berbungkus, manakala aktiviti memasak di surau tidak dibenarkan.
“Pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan ini juga dibenarkan,” titahnya.
Malah, ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu bertanggungjawab bagi memastikan pengurusan dan pelaksanaan kesemua aktiviti yang dibenarkan itu dibuat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Antara SOP itu termasuklah penjarakan fizikal, pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, memakai pelitup mulut dan hidung dan membawa sejadah sendiri. – UTUSAN