SMART SBB tingkatkan hasil sawah  - Utusan Malaysia

SMART SBB tingkatkan hasil sawah 

RONALD Kiandee (baju hitam) bergambar bersama penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi di PPK Mada H-11, Kepala Batas, Jitra Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sebanyak 30 hingga 40 peratus petani di negara ini akan menjadi perintis kepada Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dijangka bermula pada musim tanaman baharu Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, SMART SBB adalah  satu inisiatif kerajaan dalam menyatukan tanah sawah melalui satu sistem pengurusan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil lepas tuai. 

“SMART SBB adalah proses meningkatkan pendapatan petani berterusan melalui pengurusan tanah yang cekap. 

“Penglibatan pemain industri sendiri sebagai syarikat-syarikat peneraju dalam program ini tidak membabitkan tambahan kos kepada kerajaan malah kesemua syarikat peneraju akan menanggung sepenuhnya kos tersebut.

“Peserta juga menggunakan pelbagai teknologi baharu dalam industri bagi membantu pengurusan sawah dan seterusnya meningkatkan hasil per hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi di PPK Mada H-11, Kepala Batas, Jitra di sini hari ini.

Hadir sama, timbalannya,  Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihak kementerian kini mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi  menjelaskan pelan pelaksanaan program berkenaan sebelum ia dilaksanakan. 

“Ia akan dilaksanakan secara berperingkat mulai musim penanaman padi pada Ogos ini. Kalau inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan baik, kita menyasarkan  peningkatan  purata   

hasil  per hektar nasional  daripada purata hasil semasa sebanyak  3.5 tan metrik kepada 7 tan metrik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, pembangunan tanah sawah untuk tujuan perumahan dan komersil adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing.

“Daripada persepsi kementerian kita tidak mahu lihat tanah pertanian ini digunakan untuk kegunaan lain sama ada untuk ditukar status kepada tujuan komersil atau sebagainya. Namun semua itu adalah keputusan kerajaan negeri.

“Saya percaya mereka (kerajaan negeri) mempunyai jawatankuasa  peringkat negeri untuk memantau perkara ini sebaik mungkin dan membuat penilaian tertentu sebelum ditukar status,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN