SK Chuping tidak selamat? - Utusan Malaysia

SK Chuping tidak selamat?

IBU bapa mengambil anak dari sekolah di di SK Chuping, Padang Besar, Perlis semalam.– UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Ibu bapa kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping yang berusia 106 tahun di sini tidak bersetuju anak mereka dipindahkan ke sekolah lain.

Difahamkan kira-kira 260 mu­rid dari sekolah itu akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mata Ayer pada Mei depan selepas SK Chu­ping itu didakwa sudah tidak selamat untuk diduduki atas faktor keselamatan ekoran berlaku mendapan tanah.

Namun, ibu bapa mendakwa mereka tidak dimaklumkan me­ngenai perkara tersebut secara hitam putih atau menerima sebarang notis berhubung situa­si berkenaan sebaliknya hanya mendengar secara lisan bahawa anak-anak mereka perlu berpindah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Chu-ping, Shariff Ishak berkata, polemik perpindahan murid itu sudah lama berlarutan atas alasan atas faktor keselamatan.

Namun katanya, pada 2019, semasa pertemuan dengan pi­hak-pihak bertanggungjawab ter­­masuk wakil-wakil rakyat dimaklumkan pula bahawa kawasan sekolah berkenaan selamat diduduki.

Katanya, sehingga kini, mereka tidak pernah menerima notis atau pengesahan rasmi bahawa sekolah itu sudah tidak selamat.

“Kira-kira 150 ibu bapa membabitkan murid sekolah ini sepakat kalau boleh tidak mahu pindah ke sekolah lain.

“Kebanyakan penduduk di kawasan ini terdiri daripada orang susah yang terpaksa berulang-alik menghantar anak ke sekolah. Kalau kena pindah ke SMK Mata Ayer yang jaraknya sekitar empat kilometer akan menyukarkan ibu bapa,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Shariff turut menyerahkan memorandum bantahan pindah sekolah itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena merangkap Naib Pengerusi PKR nege­ri, Asrul Nizan Abd. Jalil yang turut memberi jaminan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak bertanggungjawab.

Seorang ibu, Junaidah Hassan, 41, pula berkata, mereka akan akur untuk anak berpindah ke sekolah lain jika diakui secara rasmi sekolah itu benar-benar tidak selamat

“Apabila berpindah ke SMK Mata Ayer, anak-anak perlu bercampur dengan budak sekolah menengah dan dikhuatiri berlaku pelbagai isu sosial lain,” katanya.

Ahmad Soffi Abdul Manah pula meminta kementerian memandang serius isu ini dengan memberi jawapan secara jelas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya