SHAH ALAM: Satu sindiket pengedaran dadah dari pantai timur Semenanjung tumpas dengan tertangkapnya tiga ahlinya dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini, Jumaat lalu.
Dalam serbuan tersebut, dadah seberat 69 kilogram dianggarkan bernilai RM3.1 juta dirampas bersama tiga individu berusia 25 tahun hingga 38 tahun.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuat serbuan di kawasan parkir awam di Serdang dan menahan seorang lelaki warga tempatan serta menemukan beg kanvas berisi 10 bungkusan syabu dalam kenderaan jenis Naza Citra.
Katanya, siasatan terhadap lelaki dipercayai pengedar dadah itu membawa kepada penahanan dua lagi individu juga warga tempatan dipercayai sebagai penghantar di hadapan sebuah rumah di daerah sama.
“Susulan penahanan ini, kita membuat satu lagi serbuan di Ampang dengan merampas tiga beg berisi 60 bungkusan syabu dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Kesemua dadah jenis syabu seberat 69 kilogram ini mampu dibekalkan kepada 138,130 penagih dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.
Arjunaidi berkata, siasatan awal mempercayai bahawa kesemua bekalan dadah dari pantai timur Semenanjung itu untuk dibekalkan di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata, siasatan lanjut juga mendapati penghantar dadah itu mampu meraih RM10,000 bagi setiap perjalanan dengan sindiket tersebut dan aktif sejak awal tahun ini.
“Ujian saringan air kencing dijalankan kepada semua suspek dan mendapati salah seorang suspek positif syabu.
“Mereka ditahan reman tujuh hari bermula 27 Februari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
habis///
Kapsyen
ARJUNAIDI Mohamed (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Serdang dan Ampang, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI